Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Sambutan Hari Raya Aidilfitri YSHHB penuh keceriaan, kemeriahan
22/04/2024

hm_220424.jpg

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dan beramah mesra dengan raja yang sangat dikasihi dan menyembahkan junjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam suasana yang lebih mesra dan meriah. 

Sehubungan dengan itu, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445H/2024M anjuran YSHHB berlangsung pagi tadi dengan cukup meriah dan penuh dengan warna-warni yang mengetengahkan kumpulan masyarakat yang dikenal pasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada agama, raja, bangsa dan negara. 

Berangkat bercemar duli memeriahkan lagi majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. 

Berangkat sama paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam. 

Turut berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Timbalan Pengerusi I Jemaah Tadbir YSHHB; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB; Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan Pemangku Pengarah Urusan Yayasan. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) ini merupakan kali ke-20 dianjurkan oleh YSHHB sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2003. 

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Diikuti dengan sembah alu-aluan disampaikan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB 

Pada kemuncak majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah. 

Acara kemudian diteruskan dengan tayangan video bertajuk 'Membangun Generasi Pemimpin: Membudayakan Belia Pemedulian Dan Prihatin' yang antara lain memaparkan penglibatan aktif para pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam sama-sama membantu menangani isu-isu pembangunan sosial selari dengan pendekatan senegara yang mantap 'Whole of Nation Approach' bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035. 

Video tersebut turut memuatkan segmen khas iaitu kurnia sabda-sabda paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Sabda-sabda paduka-paduka anakanda baginda itu membawa mesej inspirasi kepada para golongan belia untuk mengambil peranan dan tampil bersedia untuk menyumbang khidmat masa, idea dan tenaga mahu pun material dalam apa jua program kesukarelawanan dan kemasyarakatan. 

Di samping, penglibatan aktif paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam program-program kesukarelawanan dan kemasyarakatan juga dapat memberikan inspirasi dan contoh tauladan terbaik kepada golongan muda belia di negara ini. 

Majlis kemudiannya turut diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah YSHHB iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak, murid-murid sekolah rendah dan penuntut-penuntut sekolah menengah dengan pimpinan tenaga pengajar Sekolah YSHHB. 

Sejurus selesai, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta paduka-paduka anakanda baginda dijunjung bagi menyaksikan pameran dan beramah mesra bersama para peserta. 

Bersesuaian dengan tema dan kategori peserta yang diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini, pameran disertai oleh sebanyak 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan yang mempamerkan program kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh para pelajar di institusi masing-masing. 

YSHHB juga turut sama mempamerkan program kesukarelawan yang melibatkan penyertaan para belia tempatan selaras dengan salah satu tujuan penubuhan YSHHB iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat. 

Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing. 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​